Anwar

Kepercayaan dan keyakinan fokus utama PM Anwar tarik keyakinan pelabur di Melbourne

Kepercayaan dan keyakinan jadi elemen penting dan fokus utama bagi delegasi Malaysia sewaktu bertemu dengan pelbagai lapisan pemimpin, wakil utama syarikat gergasi, pemain industri, mahu pun bakal pelabur sewaktu berada di Melbourne, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita perlu terus bekerja keras untuk meletakkan Malaysia lebih dikenali dan gemilang di persada dunia, Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Malaysia terus meraih keuntungan hasil lawatan kerja luar negara oleh Anwar di Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne, Australia.

Terbaharu, dilaporkan tujuh syarikat Australia menyatakan komitmen mereka untuk menambah dan membawa pelaburan baharu ke Malaysia termasuk dalam bidang teknologi hijau dan tenaga guna baharu.

Komitmen itu telah dimaklumkan kepada Anwar semasa Mesyuarat Meja Bulat bersama pemimpin-pemimpin industri yang diadakan di Melbourne pada Selasa, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada 2023, perdagangan dua hala Malaysia dan Australia mencecah AS$18.57 bilion (RM84.64 bilion).

Setakat Disember tahun lalu, pelaburan diluluskan Australia di Malaysia membabitkan 582 projek, dengan pelaburan direalisasikan membabitkan 366 projek.

Untuk rekod, Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dihadiri semua negara anggota ASEAN kecuali Myanmar serta turut disertai tiga negara jemputan melibatkan New Zealand, Timor Leste dan Papua New Guinea.

Related Articles

Back to top button