Nasional

Kerajaan sedang muktamad dasar berkaitan untuk perkenal perundangan baharu ganti Akta Bantuan Guaman 1971

Kajian menyeluruh mengenai rejim perkhidmatan bantuan guaman semasa telah diselesaikan oleh kerajaan dan kini sedang memuktamadkan dasar berkaitan untuk memperkenalkan perundangan baharu bagi menggantikan Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, undang-undang baharu itu bertujuan merangkumi perkhidmatan bantuan guaman sivil dan jenayah termasuk perkhidmatan pembela awam dalam usaha memastikan akses kepada keadilan tidak dinafikan kepada mana-mana orang.

BHEUU turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meneruskan usahanya untuk mempromosikan program ‘Justice on Wheels’ yang telah dilancarkan pada 25 Januari lalu yang menggunakan pendigitalan dan platform mudah alih untuk menyediakan perkhidmatan guaman kepada masyarakat luar bandar termasuk di kawasan Felda di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, kerajaan kini sedang merangka Akta Keselamatan Digital (DSA) bagi menyediakan prosedur berkaitan pencegahan jenayah siber memandangkan kepesatan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pelanggaran data oleh penyedia rangkaian dan platform

“Ini termasuk pencegahan penyebaran bahan penderaan kanak-kanak, penipuan dalam talian dan keganasa untuk mengawal selia penggunaan selamat kemudahan rangkaian, perkhidmatan, aplikasi dan perkhidmatan aplikasi kandungan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, selaras dengan tema Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel (CLMM) 2024, BHEEU memaklumkan kerajaan Madani mengiktiraf bahawa seperti diperuntukkan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, semua orang berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama dan sudah tiba masanya kemajuan teknologi digerakkan untuk memajukan tanggapan ini.

“Usaha juga telah diambil oleh kerajaan terutamanya berkaitan eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian untuk melindungi kanak-kanak melalui pindaan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) pada tahun lalu.

“Peruntukan baharu diperkenalkan dalam akta tersebut bagi menangani ancaman pemerasan seksual kanak-kanak yang semakin meningkat dan penyalahgunaan penstriman langsung merentasi sempadan dan menuntut kerjasama rentas sempadan,” menurut BHEUU.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengadakan lawatan ke Zanzibar, Tanzania bagi menghadiri CLMM 2024 dari 4 hingga 8 Mac ini.

Mesyuarat itu bertemakan “Teknologi dan Inovasi: Bagaimana Pendigitalan Membuka Jalan untuk Pembangunan Akses Berpaksikan Rakyat kepada Keadilan”, berdasarkan komitmen kolektif Negara Anggota Komanwel ke arah mencapai cita-cita Deklarasi Komanwel mengenai Akses kepada Keadilan dan Pelan Tindakan, yang memperjuangkan akses yang sama kepada keadilan untuk semua.

Keputusan CLMM 2024 itu akan dibincangkan semasa Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Samoa.

Related Articles

Back to top button