Semasa

KPKM galak generasi baharu usahawa terlibat pertanian moden

Usaha bagi menggalakkan generasi baharu usahawan terlibat dalam pertanian moden bakal ditingkatkan, kata Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Jelasnya, langkah itu susulan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024)

Tambahnya, kementerian mahu memfokuskan penglibatan usahawan dalam usaha pertanian bandar menerusi peruntukan yang diberikan kepada Agrobank sebanyak RM300 juta.

“Kami mahu memberi tumpuan kepada pertanian moden di bandar kerana lokasi tersebut mempunyai kira-kira tujuh juta penduduk dan tanah semakin berkurangan.

“Itulah sebabnya kita perlu menggalakkan pertanian moden ini, ” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Wang Persekolahan Agrobank 2024 di Lake Point Club, dekat Shah Alam pada Selasa.

Pada acara itu, seramai 200 murif sekolah rendah sekitar Lembah Klang menerima bantuan sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 bermula 11 Mac ini.

Sementara itu tambah Mohamad, penduduk yang tinggal di rumah pangsa juga boleh menerima manfaat daripada pertanian moden tersebut kerana fleksibiliti dari segi aktiviti mahupun ruang.

Ujar beliau, Singapura antara negara yang mengamalkan budaya pertanian moden tersebut sehingga membolehkan beberapa hasil dijual.

“Sebagai contoh, Sunway Group telah memulakan aktiviti dan telah mendapat hasil yang tinggi,” tambahnya.

BACA LAGI: KEB 2024: Inisiatif diumum langkah tepat perkasa Bumiputera

Tambah Mohamad lagi, pertanian moden antara pilihan kerjaya untuk mendorong industri pertanian, selaras dengan revolusi perindustrian keempat.

“Perkembangan teknologi dalam sektor pertanian sepatutnya menjadi daya penggerak bagi generasi hari ini untuk mengambil bahagian dalam sektor tersebut.

“Ia sejajar dengan apa yang saya tegaskan iaitu sektor pertanian perlu digalakkan dalam kalangan generasi muda sebagai salah satu sektor berpotensi yang mampu membawa impak besar ke arah pertumbuhan ekonomi,” kata beliau.

Related Articles

Back to top button