Anwar

Malaysia gesa percepat penggunaan, libat perniagaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand

Malaysia menggesa agar dipercepatkan penggunaan dan penglibatan perniagaan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perkara berkenaan diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam sesi pleno bertajuk Semakan dan Hala Tuju Masa Hadapan Hubungan Dialog ASEAN-Australia pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC), hari ini.

“Perkara lain yang turut diberi tumpuan adalah mempererat hubungan ASEAN-Australia terkait transisi tenaga, pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Selain itu katanya, pembangunan modal insan berkaitan kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut dibangkitkan pada sesi berkenaan.

“Usai ucapan, saya bersama pemimpin ASEAN lain menyertai sesi makan tengah hari anjuran Gabenor Victoria Margaret Gardner AC di Government House, Victoria sebelum sesi permukiman berlangsung.

“Keakraban ASEAN-Australia harus diterjemah kepada lebih banyak peluang kerjasama untuk dimanfaatkan rantau ini secara bersama,” katanya.

Sidang kemuncak itu dihadiri oleh semua negara anggota ASEAN kecuali Myanmar, selain tiga negara jemputan iaitu New Zealand, Timor Leste dan Papua New Guinea.

Australia menjadi Rakan Dialog ASEAN yang pertama pada tahun 1974, status rasmi yang diberikan kepada sebuah negara untuk mengeratkan hubungan dan Rakan Strategik Komprehensif ASEAN pada tahun 2021.

Ini adalah kali kedua Australia menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara anggota ASEAN selepas sidang kemuncak khas pertama yang diadakan pada Mac 2018.

Related Articles

Back to top button