Setiausaha politik PM seru masyarakat bantu kerajaan noktahkan miskin tegar
Pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan diseru untuk bekerjasama membantu kerajaan dalam usahanya menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata, peranan pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan sangat penting untuk memantau serta memberikan laporan kepada pihak kerajaan agar tindakan susulan dapat dilakukan.
“Kita dalam kerajaan, khususnya di Jabatan Perdana Menteri, tidak tahu apa yang berlaku di luar… kita tidak tahu mana lagi rakyat yang berada dalam golongan miskin tegar.
“Oleh itu kita sangat berterima kasih kepada pemimpin masyarakat dan agensi yang memberi kami laporan dan berdasarkan laporan berkenaan,” katanya.
Azman sebelumnya ditemui pemberita di Kota Marudu selepas melakukan ziarah kasih ke daerah itu bersama petugas Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Pada kunjungan itu Azman bersama petugas ICU JPM berkunjung ke rumah daif yang telah dipilih untuk menyampaikan sumbangan makanan dan wang.
“Saya sangat terkejut kerana rumah yang didiami sepatutnya tidak boleh didiami. Ada rumah daif yang boleh didiami namun ini rumah daif yang tidak boleh didiami.
“Saya akan meminta laporan terperinci daripada pemimpin tempatan dan pejabat daerah agar dapat segera membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.
BACA LAGI: Negeri Sembilan berjaya capai sasari sifar miskin tegar
Beliau juga berkata kerajaan MADANI khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini
Justeru pihak kerajaan jelasnya akan lebih kerap turun padang bagi mencari langkah penyelesaian untuk membantu mengeluarkan rakyat berkenaan daripada golongan miskin tegar.