Semasa

Dr Zaliha dianugerahkan Bintang Semangat Rimba Emas, dilantik Presiden PPM Wilayah Persekutuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zaliha Mustafa dilantik sebagai Presiden Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) bagi Wilayah Persekutuan (WP).

Pengisytiharan tersebut disempurnakan Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof. Datuk Dr. Mohd Zin Bidin pada Majlis Makan Malam Sambutan 40 Tahun Pengakap Kuala Lumpur yang berlangsung di IWK Eco Park @ Pantai Dalam pada Rabu.

PPM melalui satu kenyataan berkata, pada majlis itu juga, Dr Zaliha telah diberi Anugerah Bintang Semangat Rimba Kelas Pertama (Emas), anugerah tertinggi PPM yang eksklusif diberikan kepada para pemimpin.

“Majlis yang bertemakan ‘Pengakap Mentransformasi, Kuala Lumpur Terus Makmur,’ ini bertujuan untuk menghargai sumbangan dan khidmat bakti para pemimpin pengakap khususnya di WP.

“Penganjuran program ini juga dianjurkan bagi mencapai persefahaman dan kesepakatan bersama rakan strategik bagi menjayakan pelan pembangunan PPM WP,” kata kenyataan itu lagi.

BACA LAGI: KESUMA tubuh jawatankuasa berkaitan Suruhanjaya Pekerja Gig

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP, Datuk Zakran Abdul Manan serta kira-kira 300 pemimpin pengakap dan rakan strategik agensi kerajaan dan korporat

Seramai 85 orang pemimpin pengakap turut menerima Anugerah Manikayu Dua Butir (‘2 bead’) sebagai tanda telah melengkapkan latihan kepimpinan PPM, siri Latihan Kepimpinan Manikayu.

Related Articles

Back to top button