Negeri

DUN Kelantan lulus usul gubal semula 16 kesalahan syariah yang diisytihar batal oleh Mahkamah Persekutuan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang bersidang pada Rabu meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lepas.

Usul itu, yang dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud (Pas), disokong oleh semua ADUN termasuk dua daripada blok pembangkang.

Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Amar Abdullah ketika membenarkan usul itu dibentang, memaklumkan bahawa ia memenuhi tiga syarat iaitu mustahak, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Terdahulu, Wan Rohimi berkata, masih ada ruang penambahbaikan dan semakan semula peruntukan yang dibatalkan itu bagi membolehkan ia dibentang semula.

Beliau berkata, adalah tidak wajar bagi Dewan untuk berputus asa dalam mempertahan bidang kuasa yang dimiliki sebagai kuasa legislatif dalam hal berkaitan agama Islam.

“Usul berkenaan juga selaras dengan titah Sultan Kelantan Sultan Muhamad V dalam memastikan perundangan dari institusi negeri dipertahan dan diperkasakan,” katanya semasa Persidangan Penggal Kedua DUN Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim.

Terdahulu, panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen seorang peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Untuk rekod, 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diputuskan sebagai terbatal dan tidak sah adalah memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), hubungan seksual dengan bukan manusia (Seksyen 17), gangguan seksual (Seskyen 31), memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu (Seksyen 34), apa-apa yang mengkhayalkan (Seksyen 36) dan mengurangkan skala, ukuran dan berat (Seksyen 39).

Melaksanakan transaksi muamalat yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah) (Seksyen 40), melaksanakan urus niaga mualat melalui riba (Seksyen 41), penyalahgunaan label dan konotasi halal (Seksyen 42), enawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat (Seksyen 43), tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat (Seksyen 44), perbuatan maksiat sebagai persediaan (Seksyen 45), perbuatan sumbang mahram (Seksyen 47) dan muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak) (Seksyen 48).

Related Articles

Back to top button