ekonomi

Kementerian Ekonomi yakin mampu urus kadar inflasi 2024

Kementerian Ekonomi menyatakan keyakinan bahawa kerajaan mampu mengurus inflasi yang diunjur sedikit meningkat pada tahun ini.

Melalui kenyataan bertulis disiar di laman sesawang Parlimen, kementerian itu berkata, inflasi masih terkawal dan usaha menguruskannya akan dilaksana dengan kerjasama semua pihak termasuk peserta industri, peniaga dan pengguna

Kementerian itu turut menjelaskan, bahawa Kementerian Kewangan melalui penerbitan Tinjauan Ekonomi 2024 mengunjurkan kadar inflasi bagi 2024 adalah di antara 2.1 peratus hingga 3.6 peratus.

“Peratus kenaikan ini adalah dalam lingkungan unjuran oleh MIDF Research bagi 2024, iaitu 3.2 peratus.

“Keadaan ini sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama,” tambah kementerian itu menjawab soalan Ahli Parlimen mengenai inisiatif untuk menghadapi jangkaan MIDF Research.

Sementara itu Kementerian Ekonomi menjelaskan, kedudukan fiskal kerajaan semakin mencabar dan memerlukan komitmen untuk menyasarkan semula subsidi yang merupakan antara komponen utama dalam belanjawan mengurus.

“Walau bagaimanapun, kesejahteraan rakyat secara keseluruhan perlu diutamakan,” tambahnya.

Kementerian Ekonomi sementara itu memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenal pasti beberapa program dan inisiatif bagi memastikan baik kedudukan fiskal dan dalam masa yang sama mengurangkan impak ke atas kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat.

BACA LAGI: Kerajaan berjaya capai sasaran defisit fiskal lima peratus

Ia antaranya meningkatkan nilai keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kepada RM10 bilion, meningkatkan bekalan dan jaminan makanan dengan menambah stok pelbagai barangan makanan serta menambah baik kecekapan pengagihan bagi memastikan bekalan tidak terganggu.

Selain itu kerajaan akan meneruskan inisiatif Payung Rahmah antaranya program Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah selain meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga yang berpatutan serta mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan secara berlebihan.

Related Articles

Back to top button