ekonomi

Kerajaan jangka peroleh tambahan hasil RM3.45 bilion hasil cukai perkhidmatan

Kerajaan menganggarkan menjana hasil tambahan RM3.45 bilion daripada peluasan skop cukai perkhidmatan dan perubahan kadar daripada enam kepada lapan peratus, kata Kementerian Kewangan (MOF).

MOF berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini, bagi menjawab soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan mengenai pertambahan pendapatan negara daripada kenaikan kadar cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2024 itu.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2024 diunjur meningkat kepada RM312.159 bilion selepas mengambil kira langkah cukai Belanjawan 2024, disumbangkan oleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Persekutuan iaitu 79.5 peratus daripada jumlah hasil, bersamaan dengan 12.57 peratus daripada kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Selain itu jumlah tersebut turut meliputi hasil bukan cukai mewakili 20.5 peratus iaitu bersamaan dengan 3.24 peratus daripada KDNK.

“Kerajaan menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 untuk mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara, meningkatkan langkah mobilisasi hasil, meluaskan asas hasil cukai, menambah baik dan menyemak semula struktur dan perundangan cukai, serta pemberian insentif percukaian.

“Langkah ini akan direalisasikan melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana bagi memastikan perancangan cukai jangka sederhana adalah lebih teratur dan sepadan dengan perbelanjaan,” katanya sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai strategi yang diambil kerajaan bagi memastikan berlaku peningkatan kadar kutipan hasil cukai kerajaan melebihi kadar 12 peratus daripada KDNK agar lebih banyak program pemulihan ekonomi dapat dirancakkan.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, kerajaan sebaik mungkin hanya ingin mencukai kumpulan yang paling kecil menerusi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berbanding melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan kesemua 30 juta rakyat Malaysia perlu membayar cukai kepenggunaan itu.

Katanya, jumlah syarikat yang perlu membayar SST dijangka meningkat sedikit berikutan pertambahan tiga bidang perkhidmatan baharu, namun jumlahnya diperakui lebih kecil berbanding jika cukai itu ditukar kepada GST.

Beliau berkata, SST bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya ia adalah satu cukai yang telah lama dilaksanakan dan ia bukan sesuatu perkara yang berlaku semasa Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, akta itu sememangnya telah ada dari dulu dan mana-mana syarikat yang telah mencapai syarat perlu membayar SST.

Related Articles

Back to top button