Negeri

Tengku Mahkota Pahang ingatkan pemimpin negeri tidak main isu politik sehingga memecahbelahkan rakyat

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan pemimpin di negeri itu supaya mengelak daripada memainkan isu politik yang boleh memecah belahkan perpaduan rakyat.

Baginda bertitah parti politik hanyalah ‘halaman’ kepada amalan demokrasi kepada pentadbiran negara dan negeri, justeru parti politik tidak seharusnya dibiarkan menjadi pemecah perpadun rakyat.

“Jangan disebabkan politik, rakyat saya berpecah-belah dan bertelagah. Tidak ada apa-apa yang lebih menggembirakan saya daripada melihat rakyat yang dikasihi hidup dalam suasana sejahtera, aman dan bersatu padu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Dataran Santuari Kampung Tanjung Gahai di Kuala Lipis, Pahang selepas menamatkan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 yang berlangsung empat hari bermula Ahad lepas.

Turut mengiringi baginda Tengku Panglima Raja Brigedier Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Hassanal bertitah selain melindungi rakyat Pahang, baginda juga perlu menyatupadukan rakyat dalam semangat kekeluargaan dan sayang menyayangi.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan rakyat supaya menjaga kawasan hutan yang menjadi punca kepada aliran sungai.

Tengku Mahkota Pahang turut menitahkan kerajaan negeri mengenal pasti hutan yang menjadi punca aliran sungai sekali gus mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan tadahan air.

“Jangan benarkan sebarang projek pembalakan, pembangunan mahupun ladang-ladang dibuat di kawasan ini,” titah baginda.

Related Articles

Back to top button