BNM kekal OPR 3.00 peratus, jangka ekonomi bakal bertambah baik
Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 3.00 peratus.
Melalui satu kenyataan, Bank Pusat itu berkata, keputusan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) itu akan terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek inflasi dan pertumbuhan.
“MPC berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.7% pada tahun 2023 dan dijangka bertambah baik tahun ini – dipacu oleh pemulihan dalam eksport dan perbelanjaan domestik yang berdaya tahan.
Manakala aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan.
“Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.
“Pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu,” tambah kenyataan itu.
Menyentuh berkenaan nilai ringgit BNM berkata, asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik namun ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama.
BACA LAGI: Kementerian Ekonomi yakin mampu urus kadar inflasi 2024
Justeru Kerajaan dan BNM sedang menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan Berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit.
“Langkah ini akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh,” kata BNM.