Semasa

Kenyataan Presiden Pas berkenaan pencen tersasar, kelirukan rakyat – Nik Nazmi

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nik Nazmi Nik Ahmad menyangkal kenyataan Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkaitan isu pencen penjawat awam yang disifatkan sebagai mengelirukan rakyat.

Menerusi satu kenyataan Nik Nazmi berkata, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu di Dewan Rakyat kononnya Kerajaan Persekutuan akan mengurangkan atau menghentikan pencen tidak tepat kerana cadangan untuk menyemak semula saraan penjawat awam tidak menyentuh penjawat awam sedia ada.

“Hakikatnya, cadangan kerajaan adalah mengkaji opsyen pengambilan penjawat awam baru dengan kaedah persaraan baru seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan skim pencen sedia ada.

“Cadangan ini tidak menyentuh penjawat awam sedia ada,” kata Nik Nazmi.

Beliau sementara itu membidas sikap hipokrit Abdul Hadi yang cuba memberi gambaran bahawa caruman KWSP adalah tidak Islamik, sedangkan KWSP memiliki pilihan simpanan syariah.

“Pilihan simpanan syariah diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip syariah. Untuk memastikan prinsip syariah dipatuhi, suatu rangka kerja tadbir urus syariah diwujudkan untuk mentadbir urus aspek pematuhan syariah bagi simpanan pencarum,” tambahnya.
.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Abdul Hadi tidak membantah cadangan agensi kerajaan Kelantan iaitu Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 2022 untuk menggantikan sistem pencen dengan caruman KWSP yang dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum.

BACA LAGI: 1.4 juta ahli KWSP terima RM500 Insentif Caruman Tambahan Kerajaan

“Mengapa semasa YIK mengumumkan cadangan ini, tiada bantahan daripada Pas kalau hendak dikatakan KWSP tidak Islamik atau tidak mengikut ajaran Rasulullah SAW

“Sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama, Abdul Hadi tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang tidak memberi gambaran sebenar terhadap cadangan Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Kelantan dan Terengganu itu turut mengingatkan parti Pas supaya menunaikan tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) milik parti itu yang ditubuhkan sejak lebih 30 tahun lalu terjaga.

Ia jelasnya dengan mengambil kira dakwaan guru PASTI tidak memiliki pelan persaraan termasuk KWSP selain dibayar di bawah paras gaji minimum RM1,500.

Related Articles

Back to top button