Semasa

Langkah mitigasi hadapi kemarau, PETRA bangunkan 19 NAWABS di lembangan sungai

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang membangunkan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (NAWABS) di 19 lembangan sungai.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program yang digerakkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) itu bertujuan memastikan fungsi sungai sebagai sumber air dikekalkan termasuklah sebagai mitigasi dan persediaan awal dalam menghadapi musim kemarau.

Jelasnya setakat kini, tujuh lembangan sungai telah siap dan mula beroperasi manakala sembilan lembangan sungai lain dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2027.

“Program ini turut melibatkan pemakluman ramalan kemarau dua bulan lebih awal dan amaran kemarau 14 hari lebih awal serta pemakluman aras dan storan empangan bagi pemantauan kemarau,” jelasnya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau sebelumnya menjawab pertanyaan seorang Ahli Parlimen mengenai penyelarasan antara agensi serta usaha untuk memanfaatkan air banjir bagi menghadapi musim kemarau.

“Usaha untuk memanfaatkan air banjir atau lebihan air hujan hanya boleh dilaksanakan dengan menggunakan kaedah penyelesaian secara struktur seperti pembinaan empangan, struktur pembendung air (weir) atau kolam takungan seperti hybrid of river augmentation (HORAS) yang sedang dilaksanakan di Sungai Klang dan Sungai Melaka,” tambahnya.

Sementara itu menurut Fadillah, kementeriannya juga akan terus memperluas pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) untuk mengawal banjir dengan menerima lebihan air sungai khususnya ketika musim hujan.

“Takungan air daripada TAPS akan dilepaskan ke aliran sungai atau terus ke LRA (loji rawatan air) jika diperlukan ketika musim kering atau ketika berlakunya pencemaran di sungai bergantung kepada kapasiti dan sumber air yang ada,” katanya.

BACA LAGI: Alasan kelewatan LRA Bukit Selambau sukar diterima – Akmal Nasir

Menyentuh mengenai usaha Kerajaan Persekutuan membantu menyelesaikan masalah air di Kelantan beliau berkata, negeri itu berdepan masalah kekurangan Loji Rawatan Air (LRA) dan Kerajaan Persekutuan akan membantu kerajaan negeri dalam menyiapkan projek LRA dari segi sumber bekalan air.

Selain itu, Persekutuan juga rancak menjalankan pelbagai projek di negeri itu termasuk projek tebatan banjir antaranya di Chicha, Kubang Kerian; Bukit Chupak, Gua Musang; Tanjung Mas, Kota Bharu dan Tok Bali, Bachok bagi kepentingan penduduk.

Related Articles

Back to top button