Semasa

MARA rancang perluas program TVET Tahfiz

Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang memperluaskan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz bagi memenuhi keperluan pasaran kerja beberapa sektor teknikal negara.

Agensi peneraju pembangunan Bumiputera itu dipetik laporan Bernama berkata, pihaknya akan memperbanyak kursus-kursus jangka pendek bersifat pembelajaran sepanjang hayat .

Program itu merangkumi bidang elektrik, automotif, reka bentuk fesyen, media digital, perabot, penyaman udara, perancah, hiasan dalaman, bangunan serta percetakan dan pengiklanan.

“Ke arah itu, MARA memaklumkan insitusi pendidikan di bawahnya iaitu GiatMara dalam hala tuju sehingga 2030 akan memperbanyakkan program TVET Tahfiz yang dijalankan bawah konsep GiatMara Vocational Technical Hub (GVTH) – sebuah kolaborasi kemahiran bersama komuniti, pelajar sekolah, agensi, dan pemain industri utama, ke institusi tahfiz di seluruh negara,” kata laporan itu.

Sementara itu menurut MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula kini terlibat dalam kerjasama dengan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) untuk mengiktiraf pelajar Hufaz Profesional Ulul Albab melalui perakuan sijil tahfiz bertahap.

Pihaknya juga dalam perancangan untuk menghantar pelajar ke universiti Islam terkemuka melalui program mobiliti pelajar jangka pendek.

BACA LAGI: Pembentukan Wakaf MARA MADANI langkah tepat perkasa komuniti Bumiputera

“Usaha mengubah landskap TVET Profesional dengan menerapkan elemen Tahfiz dalam kalangan graduan dilihat memberikan impak yang tinggi dalam membentuk sahsiah di samping mewujudkan pekerja hafiz,” menurut Unit Komunikasi Korporat MARA.

Difahamkan, lebih 90 peratus daripada 1,013 lepasan TVET Tahfiz di bawah kelolaan MARA telah mendapat pekerjaan sekali gus menjadi bukti keberhasilan ekosistem TVET Tahfiz.

Related Articles

Back to top button