Semasa

KDN pantau ajaran Ahmadi, aktifkan penguatkuasaan jika ancam ketenteraman

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memantau ajaran sesat menggunakan nama Ahmadi – Agama Keamanan dan Cahaya sama ada melanggar aspek ketenteraman dan keselamatan awam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya akan membuat semakan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung perkara itu.

“Saya difahamkan menteri agama (Mohd Na’im) sudah mengeluarkan kenyataan. Itu dari sudut ada pelanggaran agama dan undang-undang.

“Dari sudut KDN, aspek ketenteraman awam dan keselamatan. Jadi, saya akan bekerja sama dengan menteri agama untuk melihat aspek mana yang dianggap boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya.

Sebelum ini muncul satu kumpulan menggunakan media sosial untuk menyebarkan ajaran Ahmad termasuk mengadakan penstriman langsung di TikTok.

Kumpulan itu mendakwa Kaabah tidak lagi berada di Makkah, sebaliknya Petra dan kemunculan Imam Mahdi sebagai jelmaan semula imam ke-12 Syiah serta Nabi Muhammad SAW.

Pada Jumaat, Mohd Na’im menegaskan, ajaran Ahmadi – Agama Keamanan dan Cahaya bertentangan dengan syariat Islam.

BACA LAGI: Selangor tubuh jawatankuasa, pantau ajaran menyeleweng dalam talian

Sementara itu menurut Saifuddin, pihaknya belum menerima laporan lanjut daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkembangan siasatan ajaran berkenaan.

“Setakat ini saya belum dapat apa-apa laporan, mungkin ada cuma PDRM belum ‘update’ (kemas-kini) saya, saya akan semak dulu.

“Saya juga akan semak dengan menteri agama lagi. Sebab jika ia di bawah penguatkuasaan dan kawalan, tentu kita boleh aktifkan bahagian penguat kuasa (KDN) jika memang wujud perkara disebut,” katanya.

Related Articles

Back to top button