Kerajaan bakal bincang mekanisme, beri kelonggaran waktu kerja wanita berkeluarga
Sebagai menghargai peranan golongan wanita, Perdana Menteri mencadangkan supaya wanita berkeluarga diberi sedikit ruang dan kelonggaran waktu bekerja.
Pada ucapan perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di Subang Jaya malam tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada wanita supaya dapat memanfaatkan kebolehan mereka disamping menjaga kepentingan anak-anak di rumah.
Justeru beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bagi tujuan itu.
“Negara kita di peringkat akhir mengkaji Skim Saraan Penjawat Awam dengan maksud meningkatkan kadar upah kerana sudah lebih 10 tahun tidak dikaji, dan saya akan bincang dengan KSN dan KPPA supaya memberikan sedikit ruang dan kelonggaran.
“Walaupun dengan gaji yang kurang, biasa orang bekerja pukul 8 pagi sehingga 4 petang, walaupun bekerja empat jam mengikut kadar upah sekadar empat jam tetapi sekurang-kurang kita boleh memanfaatkan wanita yang merasa terdesak untuk menjaga kepetingan anak-anak mereka di rumah,” katanya.
BACA LAGI: PM Anwar sampaikan ucapan istimewa buat Wan Azizah
Tambah beliau, hasil perbincangan itu akan diumumkan sebelum akhir tahun ini sekiranya diberi ruang untuk diteliti.
“Kalau jadi, ini merupakan antara negara pertama yang memberikan pengiktirafan yang cukup bermakna kepada wanita.
“Memberi ruang kepada mereka bekerja disamping menjaga urusan rumah tangga ,” ujarnya.