ekonomi

Kerajaan permudah urusan usahawan mohon bantuan sejak tahun lalu

Kaedah permohonan bantuan untuk usahawan kecil telah dipermudahkan sejak tahun lepas, kata Datuk R. Ramanan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata, golongan itu tidak perlu risau mengenai modal perniagaan kerana kerajaan sentiasa mempunyai skim bantuan kewangan khusus untuk mereka.

Tambahnya, golongan tersebut hanya perlu menghubungi pejabat khidmat kawasan Parlimen masing-masing untuk membantu dalam proses permohonan.

“Kebiasaan mereka (usahawan) tidak tahu perlu pergi ke mana atau agensi yang sepatutnya dihubungi, sekarang kita sudah mudahkan banyak perkara.

“Kalau dulu contoh daripada TEKUN, permohonan pinjaman perlu isi 17 dokumen tapi sekarang kita kurangkan kepada empat dokumen sahaja, iaitu lesen perniagaan, gambar premis perniagaan, kad pengenalan dan penyata bank.

“Selain TEKUN, kita ada Amanah Ikhtiar dan agensi-agensi lain (di bawah kementerian) yang akan tolong,” katanya.

Ramanan ditemui pemberita selepas menghadiri program penyerahan kelengkapan sekolah anjuran Bank Rakyat kepada murid kurang berkemampuan di sekitar Sungai Buloh.

BACA LAGI: KUSKOP beri jaminan bantu pemain industri PKS

Pada program hari ini Bank Rakyat menyerahkan bantuan kelengkapan sekolah berjumlah keseluruhan RM30,000 kepada 300 murid kurang berkemampuan dari 10 sekolah di sekitar kawasan Sungai Buloh.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut menaja kos pembukaan Akaun Simpanan-i Nuri Bank Rakyat sebanyak RM20 bagi setiap murid yang menerima bantuan bagi menggalakkan amalan menabung.

Related Articles

Back to top button