Parlimen

Parlimen mesti lebih dekat dengan rakyat – Speaker Dewan Rakyat

Parlimen Malaysia tidak boleh renggang dengan rakyat sebaliknya rakyat perlu diberi penjelasan mengenai peranan dan fungsi sebenar institusi itu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyatakan harapan agar Parlimen tidak menjadi sebuah “mahligai” yang terasing daripada masyarakat.

Pada ucapan di Majlis Menuju Ambang Ramadan Bersama Rakyat, Asnaf dan Anak Yatim kawasan Parlimen Sungai Petani beliau berkata, institusi itu tidak boleh renggang dengan rakyat, sebaliknya rakyat perlu diberi penerangan mengenai peranan dan fungsi sebenar Parlimen.

“Masyarakat khususnya di luar bandar, tidak tahu apa peranan Parlimen…Parlimen dilihat sebagai tempat Ahli Parlimen bersidang, bergaduh, bertepuk meja, bertengkar, maki hamun…sedangkan Parlimen adalah tempat yang mulia, buat undang-undang.

“Parlimen Malaysia tidak boleh renggang daripada rakyat..apa juga keputusan dalam Parlimen bukan sahaja sampai kepada pemerintah tetapi juga perlu sampai ke bawah…sebab itu rakyat perlu tahu peranan sebenar Parlimen,” katanya bekas Ahli Parlimen senior itu.

Sementara itu tambahnya, siaran langsung persidangan Dewan Rakyat contohnya dapat memberikan pendedahan kepada rakyat tentang apa sebenarnya yang berlaku di Parlimen dan peranan yang dimainkan oleh Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

“Rakyat boleh menilai, kita tidak mahu rakyat cuma menilai prestasi Ahli Parlimen itu, lima tahun sekali sebelum pilihan raya, tetapi kita nak lihat sama ada wakil rakyat kita bercakap bagi pihak kita dalam hal-hal yang kita nak dia bercakap.

“(Sebagai contoh) tentang harga barang, tentang hal-hal keselamatan di tempat kita, tentang pendidikan, tentang perniagaan, tentang beras, ayam, tentang macam-macam yang kita lalui kesusahan, wakil rakyat kita mesti bercakap di Parlimen,” jelasnya.

BACA LAGO: Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan seolah ‘perlekeh’ institusi diraja

Johari pada ucapannya turut menyentuh mengenai pelapis pimpinan negara.

“Antara yang saya sampaikan khususnya untuk anak-anak muda ini bahawa negara ini milik kita semua…saya akan tinggalkan semua ini kelak dan perlu ada pengganti yang lebih baik daripada saya untuk memainkan peranan ini.

“Kita beri mereka semangat supaya mereka bersedia bukan sahaja fizikal tetapi juga mental…bila tiba masanya untuk mereka terus memerintah negara, perintah dengan sikap yang betul, niat yang betul untuk menolong rakyat dan membangunkan negara yang amat kita sayangi ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button