PM Anwar arah percepat tindakan susulan lawatan rasmi ke Australia
Semua Jemaah Menteri diberi arahan supaya mengambil tindakan susulan dan menyegerakan beberapa perkara berkaitan memorandum persefahaman (MoU) dan niat pelaburan susulan lawatan rasmi perdana menteri ke Australia baru-baru ini.
Perkaran itu telah disampaikan sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat kabinet yang diadakan pada Sabtu, kata jurucakap kepada kerajaan, Fahmi Fadzil.
“Perdana Menteri juga memaklumkan kepada Kabinet mengenai beberapa tindakan susulan perlu diambil sama ada dari segi MoU atau niat pelaburan yang dinyatakan.
“Ini disampaikan serta menteri berkaitan sedia untuk membantu menyegerakan beberapa perkara,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi sementara itu berkata, lawatan Perdana Menteri ke Australian disifatkan amat berjaya.
Lawatan atas jemputan Perdana Menteri Anthony Albanese itu bukan sahaja menarik minat pelaburan sebanyak RM24.5 bilion tetapi turut mengembangkan pelaburan sedia ada hasil pertemuan perdana menteri dengan 20 syarikat di Melbourne.
“Selain itu, empat MoU dimeterai di Melbourne, ini menunjukkan usaha bertambah baik dan cerah untuk kedua-dua negara dalam hubungan antarabangsa,” tambahnya.
BACA LAGI: Malaysia dan Australia meterai empat MoU sempena lawatan PM Anwar
Lawatan rasmi Anwar empat hari Anwar ke Australia bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan antara dua negara, menerusi pelbagai platform dua hala (bilateral) dan pelbagai hala (multilateral).
Selain bertemu pelabur, Perdana Menteri turut mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Kedua Malaysia-Australia pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac di Melbourne.