Semasa

YDPA Sultan Ibrahim kurnia Proton X90 kepada KPN, empat pegawai kanan Istana

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Sabtu mengurniakan Proton X90 kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan empat lagi pegawai kanan Istana Negara.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kurniaan daripada Seri Paduka Baginda itu disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim di Istana Negara sebagai penghargaan dan pengiktirafan sumbangan dan khidmat cemerlang ditunjukkan mereka.

Selain Razarudin, turut menerima kurnia adalah Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh, Mantan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin, dan Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan keluarga Diraja Johor menerusi Yayasan-yayasan Diraja Johor telah mengurniakan pelbagai sumbangan dalam membantu rakyat yang memerlukan.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan 10,000 paket beras percuma seberat 10 kilogram di Johor, tahun lalu dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Selain daripada kurniaan dan sumbangan menerusi Yayasan-yayasan Keluarga Diraja Johor kepada rakyat jelata, Seri Paduka Baginda juga memberi kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas,” menurut hantaran itu.

Kemurahan hati Sultan Ibrahim sememangnya diketahui umum.

Pada tahun 2010 Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Baginda turut mengurniakan Proton Suprima kepada semua Pegawai Daerah di Johor pada 2018 selain 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, pada September 2020.

BACA LAGI: PM Anwar guna kenderaan baharu kurniaan Yang di-Pertuan Agong

Baru-baru ini, Seri Paduka Baginda turut mengurnia sebuah kereta untuk kegunaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Related Articles

Back to top button