Semasa

Empat kementerian bakal bincang kerangka model perniagaan REE negara – Nik Nazmi

Kementerian Alam Sekitar dan Kelestarian Alam (NRES) dijangka akan mengadakan pertemuan bersama tiga kementerian lain hujung bulan ini bagi membincangkan pembangunan kerangka model perniagaan unsur nadir bumi (REE) negara.

Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tiga kementerian terlibat ialah Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Pertemuan itu bagi membincangkan spektrum keseluruhan model perniagaan REE termasuk cadangan penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka dan mengawal selia industri berkenaan.

“Seperti saya katakan kerajaan memang sedang melihat perkara ini.

“Jadi, dalam pertemuan itu nanti kita akan lihat perkara daripada huluan ke hiliran model perniagaan REE mengikut kerangka Perlembagaan sedia ada,“ katanya.

Nik Nazmi ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark yang disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Sabtu.

BACA LAGI: Kerajaan komited perangi perlombongan haram REE

Sementara itu, Nik Nazmi ketika menyentuh mengenai geopark berkata, kementeriannya melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang bekerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mewujudkan Lesen Geoguide bagi kawasan Geopark di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

“Sejumlah 229 geoguide atau jurupandu di semua geopark kebangsaan telah berjaya lulus dalam kursus Eco-Host anjuran MOTAC dan JMG iaitu satu daripada prasyarat dalam mewujudkan lesen geoguide.

“Di Lenggong Geopark sendiri sebanyak 23 geoguide berjaya lulus dalam kursus berkenaan,“ katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button