Semasa

KKM lulus RM6.5 juta untuk Hospital Sultanah Nur Zahirah

Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan RM6.5 juta sebagai peruntukan kerja pembaikan dan menaik taraf blok-blok di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Perkara itu dimaklumkan KKM melalui satu kenyataan bersempena lawatan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ke fasiliti kesihatan itu.

“Beliau (|Dr Dzulkefly) telah membuat tinjauan ke beberapa lokasi projek yang sedang berjalan di hospital ini. Satu daripada lokasi berkenaan ialah Blok D yang mengalami masalah kebocoran bumbung serius.

“KKM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6.5 juta di bawah perolehan darurat untuk menaik taraf blok-blok sedia ada di hospital ini dan Institut Latihan KKM bagi menempatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang beroperasi di Blok D yang terjejas dengan masalah kebocoran terbabit,” menurut KKM.

Dalam lawatan Dr Dzulkefly semalam, beliau telah diberikan taklimat berkaitan Pelan Pembangunan HSNZ melibatkan projek-projek baharu dan naik taraf yang sedang dilaksanakan serta projek-projek dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam jangka masa pendek dan panjang.

Dzulkefly turut meninjau Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) di HSNZ bagi meninjau ruang yang boleh dinaik taraf untuk dijadikan Wad Obstetrik tambahan bagi mengatasi kesesakan di wad-wad sedia ada.

BACA LAGI: KKM perkukuh kerjasama fasiliti kesihatan awam dan swasta

Beliau turut meneliti keperluan-keperluan peralatan perubatan yang mendesak di HSNZ dan beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM380,000 bagi perolehan peralatan perubatan untuk Jabatan Pediatrik merangkumi pembelian inkubator, fluid management system dan vital sign monitoring.

“Beliau turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM120,000 bagi pembelian mesin ultrabunyi untuk kegunaan Klinik Kesihatan Kuala Kemaman yang sangat mendesak,” jelas KKM lagi.

Related Articles

Back to top button