KPKM jamin bekalan bahan asas mencukupi sepanjang Ramadan, Aidilfitri
Bekalan barangan asas seperti ayam dan daging mencukupi menjelang Ramadan serta sambutan Aidilfitri, jelas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika ditemui pemberita pada satu program di Sabah pada Sabtu berkata, bekalan ayam dan telur pada masa ini adalah stabil, namun kementeriannya berharap penternak melipatgandakan usaha meningkatkan keperluan.
“Sekiranya bekalan terjejas, kita boleh import kerana sudah jalinkan persefahaman dengan negara pengeksport seperti Thailand dan China,” katanya kepada pemberita.
Mohamad sebelumnya merasmikan Expo Makanan Antarabangsa Sabah 2024 (SIFEX2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi tahun ini KPKM menekankan kepada pembangunan empat industri iaitu padi dan beras; ayam, itik dan telur; bawang merah dan nanas dalam memastikan kemajuan berterusan untuk menangani cabaran sekuriti makanan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian.
BACA LAGI: Kenaikan cukai perkhidmatan tidak libat keperluan asas, makanan
Mengenai bekalan beras negara, beliau berkata, sasaran untuk mencapai 100 peratus kadar sara diri (SSR) perlu dilaksana bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi untuk rakyat.
“Purata pengeluaran beras negara masih tidak mencukupi dengan kadar SSR hanya 65 peratus pada masa ini … namun, sasaran 100 peratus SSR itu boleh dicapai kerana kita masih mempunyai banyak kawasan tanah contohnya di Sabah, Sarawak dan Pahang.
“Kita juga boleh mempelajari kaedah menanam dan membaja dengan betul. Di negara lain, mereka boleh peroleh hingga lebih 10 tan beras dalam satu hektar, tetapi Malaysia hanya mampu mendapat tiga hingga lima tan beras dalam satu hektar,” tambahnya.