MBI Selangor peruntukkan RM4 juta untuk mengimarahkan Ramadan
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan RM4 juta bagi program Ihya Ramadan tahun ini.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor dipetik laporan Selangorkini berkata peruntukan itu merangkumi sumbangan kepada masjid, surau, golongan asnaf dan penganjuran berbuka puasa.
“Kita akan jelajah ke seluruh daerah dan menyerahkan sumbangan ini sepanjang Ramadan dan petang ini kita ke Gombak untuk serahan kepada masjid dan surau di daerah itu.
“Kita juga anjurkan beberapa program lain termasuk majlis iftar bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan edaran juadah berbuka puasa di beberapa lokasi,” katanya menurut laporan tersebut.
Terdahulu Ahmad Azri ditemui selepas menyerahkan sumbangan 150 bakul makanan kepada penduduk kurang berkemampuan di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai.
Turut hadir pada program itu adalah Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Pua Pei Ling
BACA LAGI: Penjaja eksploitasi tapak bazar Ramadan bakal dikenakan tindakan
Selain menyampaikan sumbangan 150 bakul makanan, Ahmad Azri turut menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Komuniti Madani Damansara Damai sebagai dana untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.
Beliau turut menyerahkan komputer riba kepada Mohamad Adib Haikal Nor Affendi, 14, yang dianggap sebagai ‘unsung hero’ kerana menyelamatkan mangsa kebakaran di pangsapuri itu pada 12 Februari lalu