Semasa

Pengarah HSJ rakam penghargaan susulan keprihatinan PM lulus peruntukan mendesak

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan projek bangunan tambahan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang mengalami kelewatan sejak beberapa tahun lalu akan siap menjelang akhir tahun ini.

“Projek bangunan tambahan yang terlambat ini mudah-mudahan akan siap sebelum akhir tahun ini. Projek itu kosnya dah sampai RM500 juta,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan HSJ.

Terdahulu Anwar meluangkan masa hampir satu jam melawat dan mendengar taklimat berhubung keadaan semasa HSJ oleh Pengarah Hospital terbabit, Dr Saiful Azlan Sharif

Pada lawatan itu beliau mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta untuk keperluan mendesak HSJ bagi menaik taraf bangunan dan kemudahan sedia ada..

“Saya tadi kebetulan ke Sungai Petani kemudian singgah sekejap (ke HSJ) untuk pantau apa-apa keadaan mendesak diperlukan (di sini).

“Saya telah diberi taklimat mengenai keadaan hospital ini dan saya telah teliti beberapa keperluan terdesak yang memerlukan bantuan khas.

“Bagi beberapa permintaan mendesak di HSJ saya luluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk penambahan ventilator, tangki air, kemudahan ultra-sound serta bilik penyusuan ibu.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada kakitangan dan staf yang bekerja bertungkus-lumus walaupun dalam keadaan sesak,” tambahnya.

BACA LAGI: KKM umum peruntukkan RM1.5 juta, tambah katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun

Projek pembinaan bangunan tambahan HSJ yang bermula pada tahun 2016 dengan peruntukan RM368 juta itu pada awalnya dijadualkan siap pada tahun 2020.

Sementara itu, Pengarah HSJ, Dr Saiful Azlan Sharif merakamkan penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan tambahan bagi menaik taraf serta menambah beberapa peralatan yang menjadi keperluan mendesak di hospital terbabit.

“Kita telah buat permohonan sebelum ini dan hari ini, Perdana Menteri datang melawat (hospital) dan telah meluluskan peruntukan RM1 juta.

“Peruntukan itu adalah untuk menaik taraf tangki air selain perolehan untuk unit ultra sound di wad pediatrik serta di bilik penyusuan ibu,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button