RM1.5 juta untuk naik taraf perumahan, kemudahan surau polis di Pulau Pinang
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi projek menaik taraf perumahan serta surau polis di Pulau Pinang.
Ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah Anwar berkata, peruntukan itu bagi meningkatkan keselesaan selain menjaga kebajikan anggota polis.
“Saya dimaklumkan surau memerlukan beberapa kemudahan seperti pendingin hawa (aircond) dan insya-Allah sebelum Jumaat, saya akan luluskan setengah juta untuk surau di sini dan RM1 juta untuk perumahan polis.
“Difahamkan perumahan polis pun banyak juga yang perlu diselenggara. Diharap ia dapat beri keselesaan tempat tinggal kepada anggota-anggota serta menjalankan ibadah dalam keadaan yang lebih kondusif,” katanya.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Difahamkan, sebanyak RM1 juta diperuntukan untuk projek menaik taraf kuarters di Balai Polis Seberang Jaya manakala RM500,000 lagi bagi membeli peralatan kemudahan surau di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
BACA LAGI: Sabah terima peruntukan tambahan RM100 juta selesai bekalan air
Dalam perkembangan lain, Anwar mengingatkan pihak polis agar lebih tangkas menangani jenayah terutama jenayah seksual yang kini semakin berleluasa
Katanya, beliau percaya Razarudin mampu menggalas tanggungjawab itu dalam memastikan kesemua anggotanya memberi kerjasama baik untuk mengekang jenayah terbabit.