ekonomi

Cukai perkhidmatan bagi sektor logistik dikecualikan, kurangkan kesan cukai berganda

Kerajaan kini bersetuju supaya skop pengecualian perniagaan ke perniagaan (B2B) perkhidmatan logistik diperluas untuk meliputi penyediaan perkhidmatan di bawah butiran yang sama.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada maklum balas dan pandangan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen.

Katanya, ianya adalah untuk mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata (cascading effect) daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik.

“Sebagai contoh, dengan peluasan skop pengecualian B2B ini, penyedia perkhidmatan penghantaran ‘fret’ bukan sahaja mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan itu tetapi turut layak mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan lain seperti penggudangan, pelabuhan, perkapalan, dan kemudahan rantaian sejuk yang berada dalam butiran sama dengan perkhidmatan ‘fret’ tersebut.

“MOF akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri terutamanya daripada sektor logistik bagi memuktamadkan pindaan ke atas garis panduan bagi membolehkan ianya dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut MOF, ketika ucapan penggulungan Titah Di-Raja di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah telah mengumumkan bahawa kementerian itu akan menambah baik skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik untuk mengurangkan kesan cukai berganda.

“Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024, perkhidmatan logistik dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6 peratus mulai 1 Mac 2024.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada 25 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor logistik sebelum pelaksanaan perubahan cukai ini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan telah memberi pengecualian cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan logistik bagi barang yang dieksport terus, perkhidmatan logistik aktiviti ‘transhipment’, perkhidmatan logistik aktiviti transit, perkhidmatan logistik ‘door-to-door’ dan perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman melalui e-dagang.

“Bagi mengurangkan impak negatif kepada operasi harian aktiviti logistik, kerajaan juga telah memberi kemudahan pengecualian antara perniagaan di mana penyedia perkhidmatan logistik tidak perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan komponen perkhidmatan logistik yang sama,” katanya.

Related Articles

Back to top button