KPDN batal syarikat pembungkusan minyak peket seleweng subsidi
Beberapa syarikat pembungkusan semula minyak peket akan dibatalkan lesen mereka, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Rahmah (PJR) Madani di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am (PGA) Papar, Sabah pada Ahad, langkah itu jelasnya setelah syarikat terbabit didapati terlibat dalam ketirisan subsidi barangan.
Jmlah syarikat yang dibatalkan jelasnya akan diumumkan secara keseluruhan selepas Mac ini kerana ada beberapa negeri yang belum selesai dilakukan audit.
“Untuk minyak peket ini sejak Oktober tahun lalu hingga penghujung Mac ini kita tengah buat audit untuk melihat sejauh mana keberkesanan program ini sebab kalau dilihat berdasarkan kuota yang ada sebenarnya ada sebanyak 60 juta peket minyak masak di pasaran pada kuota 60,000 tan metrik.
“Tetapi apa yang berlaku masih ada isu minyak masak peket tidak mencukupi dan sebagainya. Jadi kita tahu ada 60 juta peket minyak masak setiap bulan sebenarnya.
“Itu sebabnya kita buat audit mana-mana berlakunya penyelewengan dan telah pun ada beberapa syarikat yang kita akan umumkan nanti dibatalkan serta-merta pelantikan mereka sebagai syarikat pembungkus semula kerana terlibat dalam ketirisan subsidi minyak masak termasuk di Sabah,” kata Armizan.
BACA LAGI: Kerajaan kekalkan harga, lindungi pengguna dari kenaikan harga tak munasabah
Sementara itu sebagai mengulas isu minyak peket dan gula antara barang keperluan yang sukar diperoleh ketika ini di Sabah beliau berkata, KPDN akan melaksana penambahbaikan proses pengedaran agar ia sampai ke golongan sasar.
“Sebelum ini syarikat pembungkusan semula yang dilantik yang menentukan di mana mereka hantar bekalan minyak masak tersebut.
“Jadi kita akan lakukan penambahbaikan supaya KPDN dan KPDN Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak untuk menentukan lokasi penghantaran, kalau tidak ke tahap peruncit pun tetapi sekurang-kurangnya daerah,” jelasnya.