Anwar

Lawatan rasmi PM Anwar ke Jerman bincang kemajuan hubungan kedua-dua negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara Jerman, hari ini, untuk lawatan rasmi ke negara yang menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah.

Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

“Kunjungan ini akan membuka peluang kepada saya dan pemimpin Jerman membincangkan kemajuan hubungan kedua-dua negara selain menerokai bentuk kerjasama baharu.

“Lawatan ini juga membolehkan saya berkongsi persekitaran kondusif negara dalam usaha menarik para pelabur berpotensi dari Jerman untuk melabur di Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pesawat yang membawa beliau selamat mendarat di Lapangan Terbang Brandenburg di Berlin, pada jam 5.29 pagi (waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin dan pegawai kerajaan Jerman.

Anwar turut dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank Walter Steinmeier dan bertemu empat mata dengan rakan sejawat beliau, Canselor Olaf Scholz pada Isnin.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut Wisma Putra, lawatan rasmi Perdana Menteri itu dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama pelbagai bidang di antara Putrajaya dan Berlin.

Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia menjadi rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022.

Related Articles

Back to top button