Teknologi

MDEC sedia pelbagai program, sasar sejuta usahawan digital tahun ini

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk melatih sejuta usahawan tahun ini dalam bidang ekonomi digital.

Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, usaha menguasai kemahiran digital itu penting kerana mampu membantu usahawan menggandakan pendapatan dalam perniagaan mereka.

Justeru, MDEC mewujudkan pelbagai program disediakan antaranya e-usahawan, e-rezeki, global online workforce (glow) dan 100 go digital bagi mencapai matlamat untuk rakyat menghadapi gelombang digitalisasi.

“Secara keseluruhan kita sudah latih lebih daripada setengah juta usahawan daripada seluruh negara.

“Mereka ini merupakan individu yang telah mendaftar serta mengikuti kursus-kursus yang dilakukan MDEC.

”Untuk makluman semua kursus ini kita lakukan secara percuma, jadi semua orang patut rebut peluang ini baik kerana ia memberi pelbagai manfaat,” katanya selepas Majlis Perasmian Jelajah Saya Digital @ Pulau Pinang di Kompleks Bukit Jambul di George Town.

Acara itu disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan hadir sama Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong.

BACA LAGI: KUSKOP beri jaminan bantu pemain industri PKS

Dalam perkembangan lain, Syed Ibrahim berkata, sejak diwujudkan pada 2015, seramai 563,543 usahawan telah dilatih dengan menjana jualan melebihi RM1.24 bilion menerusi program e-usahawan dalam jelajah saya digital.

“Selain itu, seiring dengan visi Malaysia Madani di mana keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya, MDEC akan terus melaksanakan program-program seperti ini agar kemakmuran dan peluang yang dicipta dapat dimanfaatkan oleh lapisan masyarakat,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button