Semasa

Mindef perkenal inisiatif Simpanan Pendidikan Madani untuk anak warga tentera

Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memulakan inisiatif program Penabungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada kumpulan anggota lain-lain pangkat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu yang dinamakan Simpanan Pendidikan Madani (SPM) bakal dilaksana kepada murid darjah satu dari kalangan warga ATM melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kerjasama PTPTN.

“Program dikenali sebagai Simpanan Pendidikan Madani (SPM) itu akan melibatkan sumbangan tabungan ke dalam akaun SSPN kepada 9,355 anak-anak warga ATM Tahun Satu bagi sesi Persekolahan 2024 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM467,750,” jelasnya.

Khaled sebelumya merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Padang Kawad Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Perdana Sungai Besi, di Kuala Lumpur pada Ahad.

Selain Simpanan Pendidikan Madani, kerajaan juga jelasnya setuju memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah angkatan tentera.

BACA LAGI: PM Anwar beri jaminan pencen pesara tidak akan dikurangkan

Peruntukan itu yang akan disalurkan melalui Kementerian Pendidikan akan memberi manfaat kepada 29 sekolah rendah dan menengah termasuk satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di dalam kem-kem ATM di seluruh negara.

“Kedua-dua inisiatif ini kita lakukan kerana kita percaya bahawa kebajikan serta pendidikan berkualiti adalah perkara yang harus menjadi sebahagian daripada fokus utama Kementerian Pertahanan,” katanya.

Related Articles

Back to top button