Global

PM Anwar dijadualkan berbuka puasa bersama diaspora Malaysia hari ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan untuk mengadakan sesi pertemuan dengan diaspora Malaysia di Jerman dan berbuka puasa bersama mereka hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Jerman Datin Paduka Dr Adina Kamarudin berkata, perdana menteri akan menyertai lebih 5.5 juta umat Islam di Jerman menyambut ketibaan bulan suci Ramadan yang jatuh pada Isnin atau 11 Mac.

Selepas berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Anwar akan menyertai jemaah lain di Masjid Sehitlik menunaikan solat Isyak serta Tarawih sebelum meluangkan masa beramah mesra dengan komuniti Islam terbabit.

Anwar kini berada di Jerman bagi lawatan rasminya ke negara itu.

BACA LAGI: PM Anwar adakan lawatan sulung lima hari ke Jerman

Semasa berada di Berlin, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau Canselor Olaf Scholz dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Frank-Walter Steinmeier.

Selepas mengadakan pertemuan dengan kapten-kapten industri, Perdana Menteri akan berkunjung ke Hamburg bagi menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Timur Asia ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) yang dihoskan oleh Persatuan Perniagaan Asia Pasifik Jerman di mana beliau dijadual menyampaikan ucapan.

Beliau dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid El Nour di Hamburg.

Jerman adalah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Terdapat kira-kira 1,800 rakyat Malaysia yang menetap di negara itu berdaftar dengan Kedutaan Malaysia selain 1,060 pelajar yang melanjutkan pengajian.

Related Articles

Back to top button