Negeri

Sanusi tak jaga ‘decorum’ jadi sebab mesyuarat lama tak diadakan – Saifuddin Nasution

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas sikap Menteri Besar Kedah yang dakwannya tidak menjaga tertib dan etika mesyuarat.

Dipetik laporan media, Saifuddin yang Pengerusi bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, sikap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sering menggunakan maklumat dalam mesyuarat dihadirinya sebagai modal berceramah di pentas politik telah menyebabkan jawatankuasa itu tidak mengadakan mesyuarat lebih setahun.

Katanya, Sanusi juga tidak tahu membezakan perkara berkaitan urusan negara dengan politik sehingga kadangkala memperlekeh pengerusi mesyuarat yang dihadirinya.

“Dia tak perlu mengadu kenapa mesyuarat pembangunan negeri tak dibuat. Menteri Besar ini banyak hadir mesyuarat-mesyuarat Persekutuan, mesyuarat kewangan dan mesyuarat keselamatan.

“Tetapi saya dapati apabila dia balik daripada mesyuarat itu, dia gunakan maklumat dalam mesyuarat untuk ceramah kepada Pas cawangan sedangkan maklumat yang disampaikan tidak memberi gambaran sebenar.

“Mesyuarat-mesyuarat rasmi kerajaan ada yang bertaraf rahsia besar, bertaraf sulit dan kalau dia hadir mesyuarat Persekutuan, kemudian balik hanya untuk memperlekeh apa yang berlaku dalam mesyuarat maka dia seorang yang tak jaga ‘decorum’,” katanya.

BACA LAGI: Cadangan bina empangan bawah tanah di Kedah hanya angan-angan Mat Jenin

Sanusi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah minggu lalu yang ‘kecewa’ mesyuarat berkenaan tidak diadakan sejak lebih setahun bagi membincangkan projek infrastruktur kerajaan Persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri.

Menjawab kenyataan Sanusi itu, Saifuddin menegaskan tiada sebarang gangguan terhadap tugas dan peranan beliau sebagai pengerusi jawatankuasa itu bagi memantau pelaksanaan projek-projek Persekutuan di Kedah walaupun mesyuarat itu sudah lama tidak diadakan.

“Projek-projek Persekutuan di negeri terbahagi kepada dua iaitu projek bukan fizikal yang boleh dilaksanakan seperti biasa dan projek fizikal yang kebiasaannya melibatkan kerja-kerja sambungan daripada kelulusan terdahulu.

“Tadi saya hadir program di bawah Pejabat Kemajuan Negeri, tiga hari lepas pun saya hadir yang sama. Jadual saya penuh untuk bulan-bulan ke depan kerana kita melihat projek-projek sambungan yang tak boleh berlaku kelewatan seperti projek loji rawatan air.

“Kecuali projek baharu yang perlukan urusan tanah, tapi kalau projek Persekutuan tak akan dia tak boleh bagi kerjasama dan kalau dia boleh berubah (jaga etika), saya tak ada masalah untuk menyegerakan mesyuarat-mesyuarat yang memerlukan kehadirannya,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button