Parlimen

Subsidi ubat di fasiliti KKM dikekalkan – Lukanisman

Subsidi ubat-ubatan kepada pesakit yang menerima rawatan di kesemua fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dikekalkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan sebarang peningkatan kos ubat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, bagi mengurangkan beban pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti swasta, KKM menyediakan harga panduan pengguna untuk membantu rakyat mendapatkan maklumat harga ubat-ubatan menerusi www.pharmacy.gov.my bagi membuat perbandingan harga.

“KKM meneliti inisiatif ketelusan harga ubat iaitu fasiliti kesihatan swasta yang dikenal pasti perlu memaparkan harga ubat seperti diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 3 Oktober 2023.

“Langkah ini dapat meningkatkan akses rakyat kepada bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya dan membolehkan rakyat mengetahui harga ubat yang perlu dibayar, seterusnya membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Lukanisman menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai tindak balas KKM berhubung ramalan peningkatan harga ubat-ubatan serta produk farmaseutikal kira-kira lima hingga 10 peratus yang akan memberi tekanan kewangan kepada pesakit dan waris khususnya penghidap penyakit kronik.

Beliau berkata, harga ubat di pasaran dipengaruhi pelbagai sektor ekonomi seperti kadar pertukaran mata wang asing, kos penyelidikan dan pembangunan serta masalah pengilangan, yang berada di luar kawalan KKM.

Bagi mengurangkan kos perolehan ubat, katanya, KKM melaksanakan beberapa langkah, antaranya kaedah perolehan ubat dengan kontrak tiga tahun yang dilihat memberi faedah dan manfaat besar kepada kerajaan.

“Langkah ini mampu menjimatkan kos kerajaan untuk mendapat harga tawaran yang lebih stabil, selain memastikan tidak berlaku kenaikan harga dalam tempoh tiga tahun.

“KKM akan mengelak kos berulang bagi tujuan perolehan seperti kos pengiklanan tender, pemantauan kontrak lebih efektif dan mengelakkan terputusnya bekalan perkhidmatan sekiranya berlaku proses tender baharu,” katanya.

Related Articles

Back to top button