Global

Anwar adakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier di kediaman rasminya, Istana Bellevue di Berlin pada Isnin.

Perdana Menteri yang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di Istana Bellevue pada jam 2 petang (9 malam waktu Malaysia) dan disambut oleh Steinmeier.

Beliau kemudian menandatangani buku tamu Istana Bellevue sebelum mengadakan perbincangan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman dengan Presiden.

Ini merupakan pertemuan kedua Anwar dan Steinmeier dalam tempoh setahun selepas Presiden Jerman itu mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia pada bulan Februari tahun lepas.

Anwar sebelum ini berkata, selepas pertemuan kedua-dua pemimpin di Putrajaya, Malaysia berharap untuk menjalin kerjasama dengan Jerman dalam bidang biodiversiti, ekologi dan perubahan iklim.

Steinmeier, yang ketika itu turut berkunjung ke Pulau Pinang dan Sarawak pula berkata, Malaysia akan menjadi lokasi penting bagi syarikat-syarikat Jerman untuk mempelbagaikan perniagaan dan pelaburan mereka, dengan lebih 700 syarikat Jerman di Malaysia mewujudkan 65,000 pekerjaan.

Jerman telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia dalambkalangan ahli Kesatuan Eropah sejak 2000 manakala Malaysia adalah rakan dagang terbesar Jerman di Asean.

Tahun lalu, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022

BACA LAGI: Pemulihan ekonomi di landasan betul, Malaysia cipta sejarah pelaburan tertinggi tahun lalu

Pada lawatan rasmi pertamanya ke Jerman dan Eropah sebagai Perdana Menteri, Anwar dijadual menghadiri beberapa siri program yang membabitkan pemimpin kerajaan Jerman, wakil perniagaan utama serta ketua industri.

Anwar juga dijadual bertemu dengan Canselor Jerman Olaf Scholz dan diberikan majlis sambutan rasmi di Canselori Persekutuan sebelum kedua-duanya memulakan mesyuarat.

Kedua-duanya pemimpin dijangka mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengadakan sidang media bersama media Malaysia dan Jerman.

Related Articles

Back to top button