Politik

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman sertai PKR

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman sah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu diumumkan menerusi satu hantaran di Facebook miliknya selepas beliau hadir pada majlis doa selamat dan sesi penerangan isu-isu semasa di kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Ahad.

“Alhamdulillah terima kasih Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atas jemputan ke Majlis Doa Selamat dan sesi penerangan isu-isu semasa di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

“Dengan pengumuman terbuka oleh Datuk MB dalam majlis ini maka saya dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil yang juga mantan Ketua Armada Selangor saudara Adhif Syan telah diterima sebagai ahli PKR yang baharu. Syukur. Setelah saya tidak berparti lebih dari 6 bulan,” katanya.

Faiz menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat itu merupakan langkahnya bersama rakan-rakan seperjuangan yang berjiwa marhaenis, nasionalis moderat dan pro integriti sepertimana roh asal rerformasi ketika ia mula bergema di negara kita kira-kira 26 tahun yang lalu.

“Saya bertekad akan memperkasakan perjuangan asal PKR, matlamat cakna rakyat kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Amirudin serta agenda nasional Malaysia Madani di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas mempertahankan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan,” ujarnya.

Pada 7 Ogos 2023, Faiz mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli parti Bersatu.

Dakwanya, objektif awal penubuhan parti berkenaan kian terpesong yang mana ia mahu menggantikan Umno dengan memberi lebih ruang kepada orang muda dan muka baharu terutama mempunyai latar belakang bersih.

Beliau turut menzahirkan rasa kecewa kerana Bersatu kurang menekankan mengenai asas ideologi perjuangan dalam kalangan pemimpin dan akar umbi parti hingga ada pihak baharu menyertai parti cuba membawa mentaliti terdahulu.

Related Articles

Back to top button