ekonomi

Keuntungan Khazanah Nasional Bhd mencanak naik pada 2023 berbanding tahun sebelumnya

Keuntungan hasil operasi Khazanah Nasional Bhd dilapor mencanak naik kepada RM5.9 bilion pada 2023 berbanding RM1.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata prestasi lebih kukuh itu ketika pasaran global berada dalam situasi tidak menentu dipacu oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat penerima pelaburan, keuntungan nilai saksama dan pengekalan modal.

“2023 merupakan tempoh mencabar bagi Khazanah dan pasaran global, dipengaruhi oleh jangkaan kadar tertinggi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed), keredaan daripada inflasi yang tinggi, keadaan monetari yang ketat, tumpuan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI), pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik berlanjutan,” katanya.

Amirul Feisal berkata begitu pada taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Sementara itu tambahnya, hutang Khazanah meningkat sedikit kepada RM50.2 bilion daripada RM49.1 bilion pada tahun sebelumnya dengan nisbah nilai aset boleh direalisasi (RAV) terhadap hutang kekal sihat pada 2.7x.

Khazanah jelasnya kekal berdaya tahan dan melaksanakan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan mampan di samping melabur demi masa depan selain menerapkan kemampanan merentas operasi.

“NAV meningkat daripada RM33 bilion pada 2004 kepada RM85 bilion pada 2023, menjadikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 5.1 peratus, memenuhi mandat Khazanah untuk memberikan pulangan mampan kepada negara dan meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” katanya.

Dana kekayaan negara itu mengumumkan dividen lebih baik iaitu sebanyak RM1 bilion untuk 2023 kepada kerajaan (tahun kewangan 2022: RM500 juta), menjadikan dividen kumulatif yang dibayar sejak 2004 kepada RM18.1 bilion.

BACA LAGI: Pemulihan ekonomi di landasan betul, Malaysia cipta sejarah pelaburan tertinggi tahun lalu

Beliau berkata bagi tahun ini, persekitaran makroekonomi dan pasaran global dijangka kekal mencabar dan tidak menentu, dengan konflik geopolitik berterusan di Asia Barat, kesinambungan Perang Rusia-Ukraine, dan persaingan global di antara China dengan Amerika Syarikat.

Selain itu, kitaran pilihan raya global yang signifikan melibatkan 76 negara yang mewakili lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan menambahkan lebih banyak ketidaktentuan, katanya.

“Dalam persekitaran ini, Khazanah kekal berwaspada dalam aktiviti pelaburannya untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian strategik,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button