Malaysia, Jerman gesa gencatan senjata kekal dilaksana di Gaza
Malaysia dan Jerman hari ini menggesa agar gencatan senjata kekal dilaksanakan di Semenanjung Gaza selain pembebasan tawanan, manakala bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin mesti disegerakan.
Ketika membuat gesaan itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Canselor Olaf Scholz berkata, masyarakat antarabangsa perlu merealisasikan penyelesaian dua negara bagi menoktahkan konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad di Timur Tengah.
“Kami juga menggesa agar gencatan senjata kekal dilaksanakan di Gaza selain pembebasan tawanan manakala bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa perlu ada titik noktah terhadap konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar yang berada di Berlin dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Jerman mengadakan mesyuarat dua hala dengan Scholz dan konflik di Gaza, penyelesaian dua negara serta kesengsaraan rakyat Palestin adalah antara isu yang dibincangkan.
Menurut beliau, turut dibincangkan adalah kemajuan hubungan kedua-dua negara terutama kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, alam sekitar, eksport minyak sawit dan kelestarian.
“Menerusi pertemuan ini Malaysia berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih luas, bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang,” katanya.
Anwar turut berharap agar hubungan Malaysia-Jerman dapat terus diperkukuh demi manfaat bersama.