PM Anwar seru jadikan awal Ramadan kesempatan tingkatkan amal
Umat Islam diseru untuk menjadikan awal Ramadan sebagai kesempatan untuk bermunajat dan meningkatkan amal.
Seruan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu coretan dari Berlin yang dikongsikan melalui laman Facebooknya.
“Di Berlin, umat Islam mula menjalankan ibadah puasa Ramadhan dan kepada perwakilan yang bersahur jam 4.00 pagi dan solat Fajr jam 4.35 pagi, dianjurkan memenuhi waktu dengan membuka Al Quran beserta tafsirnya sekali.
“Jadikan awal Ramadhan kesempatan kita bermunajat dan meningkatkan amal serta tercapai derajat taqwa serta berusaha sesungguhnya menggapai nikmat madrasah Ramadhan,” katanya menurut hantaran itu.
Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi beberapa mesej yang diterima dari rakan Indonesia berhubung penderaan anak santri di pesantren (pondok) Jawa Timur.
Katanya, perkara itu mengingatkan beliau kisah penderaan pelajar termasuk pengalamannya ketika menjadi Menteri Pendidikan yang berlaku di sebuah sekolah di Cheras, Kuala Lumpur.
“Pendidikan tidak wajar mengesampingkan disiplin, akhlak dan adab. Pelajaran, waima pendidikan agama sekalipun, bukan sekadar menimba ilmu dan keratan ayat-ayat tanpa pencerahan, kesedaran dan amalan,” ujarnya
BACA LAGI: Lawatan rasmi PM Anwar ke Jerman bincang kemajuan hubungan kedua-dua negara
Lantaran itu, Anwar berkata, semua tenaga pengajar dan ibu bapa perlu menekan kaedah itu dan tidak bersubahat melindungi gejala tersebut.
“Untuk sekolah, institut, kolej dan universiti, berilah penekanan menjaga disiplin dan adab serta bertegas menghindari kecurangan dari berakar sejak di pusat pengajian lagi,” jelasnya.