Parlimen

Sektor agromakanan tunjuk perkembangan memberangsangkan – Mohamad Sabu

Inisiatif pengukuhan sektor agromakanan telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya pada Isnin berkata, pencapaian tersebut boleh diterjemahkan melalui pertumbuhan sektor agromakanan yang lebih kukuh pada 2023.

Bagi 2023 sektor itu telah mencatat peningkatan 4.3 peratus kepada RM181.4 bilion berbanding RM173.9 bilion pada 2022.

“Sektor agromakanan memberikan sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu 11.6 peratus.

“Pengiraan ini meliputi industri agromakanan di bawah sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

“Bagaimanapun saya menyedari bahawa KPKM masih berhadapan cabaran dalam menyelesaikan isu bekalan makanan yang bukan sahaja dihadapi oleh negara kita malah di seluruh dunia,” katanya.

Mohamad berkata, susulan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 pada 23 Februari lepas, KPKM sedang melaksanakan kajian dan perbincangan lanjut berhubung industri padi serta beras secara menyeluruh.

Hal itu termasuk cadangan mewujudkan satu harga dan gred beras tunggal dengan mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan dan kesan kepada pengguna.

“Suka saya menegaskan bahawa belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan untuk menamakan beras tersebut sebagai Beras Madani,” jelasnya.

BACA LAGI: Program Jualan Agro Madani beri penjimatan RM7.87 juta kepada rakyat

Mengulas mengenai dakwaan kartel dalam industri padi dan beras, beliau memberitahu bahawa kementeriannya bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat dakwaan tersebut di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

“Industri padi dan beras negara dikawal selia oleh KPKM di bawah Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Sekiranya terdapat pelanggaran Akta 522 dan peraturan di bawahnya oleh pemegang lesen serta permit, KPKM akan membatalkan serta-merta atau menggantung lesen mana-mana pihak,” katanya.

Related Articles

Back to top button