ekonomi

Interaksi langsung kerajaan dengan pelabur bakal buka lebih banyak peluang – PM Anwar

Sidang meja bulat perniagaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Berlin pada selasa disertai sekitar 30 syarikat utama Jerman.

Dipetik hantaran di laman Facebook, sesi dikelola Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu dihadiri antaranya B. Braun GmbH, Siemens AG, Bayer AG, Airbus, DHL, Schott AG, Volkswagen dan Infineon Technologies AG.

Menurut Anwar, peluang pada sesi itu telah gunakan untuk memberi jaminan kepada mereka bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik dan pilihan untuk membuat pelaburan.

“Saya turut maklumkan bahawa Malaysia kekal terbuka dan menjamin peluang pelaburan yang progresif bagi pelabur-pelabur dari Jerman.

“Justeru, komitmen para pelabur amat dialukan bagi meningkatkan pelaburan ke Malaysia sekali gus membawa manfaat kepada rakyat keseluruhannya,” kata Anwar.

Sementara itu dalam hantaran lain di Facebook, Anwar memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan tertutup dengan syarikat-syarikat utama secara berasingan.

“Saya kemudiannya melakukan pertemuan dengan lima pimpinan industri dan perniagaan antaranya Schott AG, X-FAB Silicon Foundries SE, Melexis, Airbus dan Infineon Technologies AG.

“Dalam pertemuan ini kesemua syarikat telah memberikan maklum balas terkait projek pelaburan mereka, malah ada yang menyatakan minat untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia.

“Dengan adanya interaksi kerajaan dengan para pelabur seperti ini akan terus memberikan peluang yang besar buat negara kita bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada Jerman atau negara sekitar Eropah, Insya-Allah,” jelasnya.

Difahamkan, pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin.

BACA LAGI: PM Anwar seru pelabur lihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama

Pada Isnin, Perdana Menteri menekankan kepentingan kerjasama perdagangan antara Malaysia-Jerman dalam sektor bernilai tinggi.

Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam sidang media yang sama pada hari tersebut menyahut kenyataan Anwar seraya berkata Jerman akan terus mencari peluang untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, berdasarkan kepada potensi Malaysia untuk membangunkan sektor tenaga boleh baharu, terutamanya tenaga hidrogen.

Related Articles

Back to top button