Semasa

Kerajaan Negeri diingatkan patuh pelaksanaan moratorium pengeksportan NR-REE

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad memberi peringatan agar semua kerajaan negeri mematuhi pelaksanaan moratorium pengeksportan bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Bercakap di Dewan Rakyat pada Selasa, Nik Nazmi berkata, semua kerajaan negeri sudah diberi surat peringatan mengenai moratorium itu yang dikuatkuasa sejak 1 Jan lalu.

“Pelaksanaan moratorium ini telah dimaklumkan kepada semua kerajaan negeri melalui edaran surat bertarikh 20 Dis 2023. Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang diterima kementerian mendapat permintaan daripada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan moratorium tersebut.

BACA LAGI: Empat kementerian bakal bincang kerangka model perniagaan REE negara 

“Berhubung perkara itu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Feb telah menegaskan bahawa pihak kerajaan negeri perlu mematuhi dasar sedia ada khususnya berkaitan pelaksanaan operasi perlombongan pengeksportan NR-REE yang berada di bawah bidang kuasa Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung status larangan eksport nadir bumi pada ketika berlakunya peralihan teknologi bagi pemprosesan dan industri hilirannya.

Sementara itu Nik Nazmi turut menjelaskan, pihaknya sedang mengkaji beberapa model perniagaan bagi memastikan pembangunan industri NR-REE meliputi keseluruhan rantaian nilai iaitu huluan, pertengahan dan hiliran.

“Model yang dipertimbangkan adalah pelaburan sepenuhnya daripada pihak industri, pelaburan kerajaan negeri dengan kerjasama pihak industri, pelaburan sepenuhnya atau bersama syarikat berkaitan kerajaan dan penubuhan entiti baharu melalui syarikat bertujuan khas,” katanya.

Related Articles

Back to top button