Negeri

KPDN Kuala Lumpur mula laksana Program Jualan Rahmah bergerak sempena Ramadan

Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur mula melaksanakan Program Jualan Rahmah (PJR) Bergerak sempena Ramadan sejak semalam.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, perlaksanaan PJR itu membabitkan semua 11 Parlimen di ibu kota ini dengan dua kali penganjuran di setiap kawasan terbabit sepanjang tempoh berkenaan.

“Boleh dikatakan setiap hari program ini akan dijalankan di lokasi terpilih itu kecuali pada hari Jumaat dengan minimum 600 pek bagi setiap barangan disediakan.

“Barangan asas yang ditawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran adalah ayam, telur, minyak masak, tepung gandum, beras, sardin, daging lembu, bawang merah, bawang putih dan santan,” katanya.

Beliau sebelumnya ditemui pemberita pada PJR Bergerak di Blok B, Desa Pandan pada hari pertama Ramadan.

PJR dilaksana bagi meringankan beban perbelanjaan isi rumah rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

“Selain secara bergerak, ia turut diadakan di 22 premis pada hujung minggu selepas gaji bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan asas ini pada harga lebih rendah.

“Kami sentiasa tambah baik program ini termasuk dari segi kemudahan dengan menyediakan khemah dan tempat duduk kepada pembeli terutama dalam kalangan warga emas dan orang kurang upaya (OKU). tambah Ariffin.

BACA LAGI: KPDN anjur Jualan Rahmah Ramadan di 450 lokasi seluruh negara

Mengulas mengenai pemantauan dibuat pihaknya selepas perlaksanaan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Mac lalu, beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan secara berterusan.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan membabitkan cukai berkenaan. Namun, pemantauan secara berterusan akan dilakukan,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button