ekonomi

Malaysia berpotensi tarik pelaburan baharu bernilai RM45.4 bilion dari Jerman – Tengku Zafrul

Hasil mesyuarat meja bulat dan pertemuan satu dengan satu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama peneraju perniagaan termasuk lima syarikat utama di Jerman, berjaya menarik minat pelaburan baharu dan pertambahan pelaburan sedia ada.

Menurut Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ia berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM45.4 bilion.

“Dan juga ada pelaburan baharu yang telah dipersetujui daripada mesyuarat meja bulat dan juga satu mesyuarat hari ini dengan potensi atau pelaburan sejumlah RM45.4 bilion.

“Potensi pelaburan ini merangkumi penambahan pelaburan yang sedia ada dan juga pelaburan baharu.

“Pelaburan-pelaburan ini dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa, peranti perubatan, kimia dan juga perkhidmatan, melalui sesi libat urus bersama-sama dengan syarikat-syarikat yang kita berjumpa pada hari ini.

“Ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap polisi, polisi kerajaan dan kestabilan politik juga. Mereka juga memang telah lama di Malaysia”, katanya kepada media selepas menyertai kedua-dua program berkenaan.

Selain Tengku Zafrul, turut sama adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict.

Tengku Zafrul berkata, Anwar turut mengadakan mesyuarat satu dengan satu bersama lima syarikat iaitu X-Fab Silicon Foundries, Melexis, Infineon Technology, Schott AG dan Airbus, yang memberikan kemas kini mengenai status projek pelaburan mereka di Malaysia.

“X-Fab, Melexis, dan Schott AG berkata, projek mereka kini dalam pembinaan dan menjangkakan fasiliti mereka akan mula beroperasi dalam tahun ini.

“Pelaburan diluluskan untuk projek-projek ini berjumlah RM4.45 bilion,” katanya.

Sejak tahun 2000 lagi, Jerman sudah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan ahli Kesatuan Eropah, manakala Malaysia adalah rakan perdagangan terbesar Jerman di ASEAN.

Pada 2023 sahaja, perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding dengan RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada tahun 2022.

Related Articles

Back to top button