Nasional

Malaysia terpelihara daripada tuntutan asing dengan adanya RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023

Kerajaan dalam usaha mewujudkan kawal selia yang ketat dalam memastikan kepentingan sesebuah negara dan rakyatnya dipelihara daripada tuntutan pihak luar yang boleh menggugat keselamatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan pembiaya litigasi pihak ketiga yang tidak beretika, berisiko memberi ancaman serius terhadap kedaulatan dan negara.

Justeru itu jelasnya, Rang Undang-Undng (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 yang akan dibentang bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Rakyat kali ini, boleh mengawal selia kekebalan itu.

“Saya akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 bacaan kali kedua pada 18 Mac ini di Dewan Rakyat.

“RUU yang akan diperkenalkan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ini akan menerima pakai undang-undang adat antarabangsa (customary international law).

“Ini kerana meskipun peranan mereka membantu pihak yang tidak mampu mendapatkan keadilan tidak boleh dinafikan, namun ketiadaan suatu kerangka kawalan membolehkan mereka mengeksploitasi tuntutan perundangan yang remeh ataupun palsu.

“Pihak yang menyalahgunakan sistem perundangan ini menyasarkan negara berdaulat, demi kepentingan dan keuntungan,” katanya melalui ciapan di aplikasi X, hari ini.

Pada 29 November 2023, Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 telah dibentang di Dewan Rakyat, antara lain bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.

Akta itu juga bertujuan tiada tindakan praperbicaraan boleh dibawa, dimulakan atau dikekal terhadap harta sesebuah negara di hadapan mana-mana mahkamah, kecuali jika negara berkenaan bersetuju dengan pengambilan tindakan itu sebagaimana diperuntukkan dalam perjanjian antarabangsa.

Ia termasuk sebarang perjanjian timbang tara atau dalam kontrak bertulis, pengisytiharan di hadapan mahkamah, komunikasi bertulis selepas pertikaian antara pihak timbul atau negara berkenaan sudah memperuntukkan harta itu bagi menunaikan tuntutan yang menjadi matlamat prosiding.

Related Articles

Back to top button