MOSTI pastikan pelaksanaan inisiatif selari perkembangan ekonomi semasa
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif sains, teknologi dan inovasi negara selaras dengan perkembangan ekonomi semasa.
Tekad itu dinyatakan menterinya, Chang Lih Kang ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Jelasnya, MOSTI antaranya merangka beberapa pelan hala tuju bagi pembangunan teknologi terutama bidang baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan blockchain sehinga 2025.
“…kini (MOSTI) dalam perancangan untuk menggubal kesinambungan pelan tersebut sehingga 2030 supaya inisiatif pelan sedia ada dapat terus dilaksanakan dan mencapai sasaran ditetapkan.
“Di samping itu, kementerian juga bertanggungjawab dalam merangka tadbir urus dan kod etika AI (AIGE) yang akan dilancarkan pada suku kedua 2024. AIGE ini melengkapi usaha pengukuhan tatakelola perundangan dan etika untuk mengawal selia AI,” jelasnya.
BACA LAGI: Kementerian Ekonomi yakin mampu urus kadar inflasi 2024
Menyentuh mengenai teknologi blockchain. Ahli Parlimen Tanjung Malim itu memaklumkan kementeriannya kini sedang melaksana projek rintis.
Teknologi yang sedang diuji itu jelasnya membabitkan sistem Authorized Economic Operator atau AEO berasaskan blockchain oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bakal digunakan bagi sistem pengesahan daging import halal.