Anwar

PM Anwar beri jaminan isu terkait hak kanak-kanak lahir di luar Malaysia sedang ditangani kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa isu berkaitan hak kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia sedang ditangani oleh kerajaan.

Beliau berkata Kabinet telah bersetuju untuk membawa usul mengenai pindaan terhadap Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak-hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia ke Parlimen bulan ini.

“Saya juga mengulangi iltizam bersama rakan Jemaah Menteri untuk berkhidmat dengan lebih baik buat rakyat keseluruhannya.

“Saya turut memberi jaminan bahawa isu berkaitan hak kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia sedang ditangani oleh kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama Perdana Menteri dan rakyat Malaysia yang menetap di Jerman, pada Selasa.

Selain itu, Anwar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah diarahkan untuk memudahcara proses pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara.

“Saya juga memberi komitmen menerusi SPR untuk meneliti kesukaran rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi pada pilihan raya umum,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, dengan bilangan perantau yang semakin meningkat, maka kapasiti pelaksanaan pilihan raya juga harus terus ditingkatkan.

Tambahnya lagi, pendaftaran sebagai pengundi bukan lagi suatu isu besar memandangkan Malaysia sudah beralih kepada sistem pendaftaran automatik.

Pada masa yang sama Anwar, hari ini, mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan untuk bertemu umat Islam di Jerman.

Anwar diberi kesempatan untuk bertemu dan mengadakan perbincangan serta menyertai jemaah di Masjid Sehitlik untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Duta Besar Turkiye ke Jerman, Ahmet Başar Şen serta delegasi Malaysia yang lain.

“Dalam pertemuan ini kami sempat membincangkan soal pembangunan umat Islam di Jerman serta situasi yang menimpa warga Palestin.

“Kami juga nyatakan pendirian bahawa penderitaan warga Palestin ini mesti dihentikan serta-merta,” katanya.

Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam sempena bulan Ramadan iaitu 12 naskhah al-Quran dengan sebuah daripadanya adalah Cetakan Khas, sebuah lagi Terjemahan Bahasa Jerman, manakala 10 ialah Terjemahan Bahasa Inggeris kepada pengurusan masjid.

Terdapat kira-kira 5.5 juta umat Islam menetap di Jerman, yang mewakili 6.6 peratus populasi dan kumpulan agama kedua terbesar di negara itu.

Related Articles

Back to top button