Nasional

Harga dan bekalan ayam stabil – Mohamad Sabu

Harga dan bekalan ayam di seluruh negara kini stabil.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dapatan itu hasil pemantauan harga ayam oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di peringkat ladang secara bulanan.

“Purata harga ayam di ladang yang direkodkan di seluruh Semenanjung Malaysia semenjak November 2023 ialah RM5.85/kg; Disember 2023 ialah RM6.39/kg; Januari 2024 ialah RM6.13/kg; dan Februari 2024 ialah RM6.03/kg,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang ingin tahu adakah harga ayam naik mendadak atau menghadapi kekurangan bekalan di pasaran selepas pemansuhan subsidi dan kawalan harga serta sama ada subsidi telur gred A, B dan C akan diteruskan.

Tambah Mohamad, setakat ini kerajaan berpandangan subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C diteruskan dengan menggunakan mekanisme sedia ada.

Ujar Mohamad, sebarang perubahan dasar akan mengambil kira semua faktor khususnya trend bekalan semasa.

Jelasnya, kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan bekalan telur di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sentiasa menjalankan pemantauan dari masa ke semasa berkaitan dengan status bekalan makanan di pasaran dan berusaha keras menjamin sekuriti makanan negara berada di tahap terbaik.

Related Articles

Back to top button