Sukan

Kabinet bincang isu penganjuran Sukan Komanwel 2026 minggu depan – Hannah

Kabinet akan mengadakan perbincangan pada minggu depan bagi memutuskan sama ada Malaysia akan menganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026 atau tidak.

Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh berkata pada masa ini, beliau tidak mahu mendahului perbincangan Kabinet berhubung keputusan itu.

Bagaimanapun jelasnya, beliau yakin bahawa Kerajaan Perpaduan akan memberi pertimbangan sewajarnya, berhubung perkara berkenaan dan bersikap bertanggungjawab dalam membelanjakan setiap wang sekiranya Malaysia menerima tawaran itu.

“Ada banyak maklum balas di luar sana, semua beri pandangan masing-masing tetapi saya beri jaminan bahawa kerajaan ini sangat bertanggungjawab dengan setiap ringgit duit rakyat.

“Kita (Kerajaan Perpaduan) akan pastikan setiap perbelanjaan yang kita nak lakukan ini, mesti mendatangkan hasil kepada negara,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Hannah sebelumnya menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Nasib Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas Victoria di Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri pada Julai tahun lalu.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.

BACA LAGI: Azizulhasni dedah dipelawa sertai pasukan negeri Victoria selepas Sukan Olimpik Paris 2024

Sementara itu Hannah sebagai mengulas laporan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menolak tawaran rasmi menganjurkan Piala Thomas dan Piala Uber 2026 menjelaskan, BAM tidak menolak tawaran itu sebaliknya persatuan tersebut tidak berhasrat untuk membuat bidaan.

“Kekeliruan berlaku pada 12 Mac, apabila PJS (Pesuruhjaya Sukan) mendakwa bahawa BAM menolak tawaran tersebut dan ia tidak benar sekali.

“BAM, mereka tidak berhasrat untuk membuat bidaan, jadi tidak timbul mereka menolak tawaran,” katanya.

Related Articles

Back to top button