Anwar

Malaysia gesa Jerman lihat pendekatan lebih inklusif terkait eksport minyak sawit ke Eropah – PM Anwar

Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, menggesa Jerman untuk mengambil pendekatan lebih inklusif dan adil berkaitan eksport komoditi itu ke Eropah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia telah membuat langkah-langkah utama bagi memastikan pembangunan lestari bagi pengeluaran minyak sawit.

“Malaysia juga menggesa Jerman untuk melihat pendekatan lebih inklusif berkaitan eksport minyak sawit ke Eropah dengan mengutamakan langkah-langkah yang telah dibuat oleh Malaysia bagi memastikan pembangunan lestari bagi pengeluaran minyak sawit,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Kebimbangan itu telah dibangkitkan dalam pertemuan Anwar dengan Naib Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim Jerman, Dr Robert Habeck.

Pertemuan itu diadakan di Berlin Station sebelum Anwar menyampaikan ucaptama pada acara tahunan SME Future Day 2024 (Mittelstand).

“Kami membincangkan soal kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara melibatkan penyertaan syarikat-syarikat besar di Jerman untuk membuat pelaburan di Malaysia.

“Malaysia juga mengalu-alukan sokongan Jerman dalam pembangunan kapasiti, terutama bagi inisiatif peralihan tenaga.

“Kami turut menyentuh soal Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA), kerjasama dalam pembangunan kapasiti dan kepakaran, khususnya Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan program pertukaran tenaga pekerja (exchange of partnership in workforce) di antara syarikat serta institusi Malaysia dan Jerman,” katanya.

Tambahnya lagi, kedua-dua negara turut bertukar pandangan terkait soal geopolitik termasuk isu melibatkan Ukraine, Palestin dan Myanmar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Related Articles

Back to top button